Selama ini aku mencari-cari post apa yang sesuai diketengahkan. Tiba-tiba hati ini tergerak untuk menulis. Maaflah kalau post kali ini agak berat sedikit.
Akhir-akhir ini aku banyak stalk (terjemahan: mendekati dengan terhendap-hendap - kamus dwibahasa oxford fajar) blog orang. Pelbagai isu diutarakan, isu israel laknatullah yang memperkosa Palestin, politik tanah air, budaya dan pemikiran melayu dan tingkah laku remaja zaman sekarang.Masing-masing mempunyai pendirian dan pendapat yang ingin dipertahankan. Aku disini sebagai seorang observer hanya dapat memberikan pendapat dari sudut pandanganku sendiri.
Palestin dinoda lagi. Alangkah bertuahnya kite yang lahir dibumi yang bertuah ini, dimana kita dapat makan bersama keluarga, melepak bersama rakan-rakan, belajar dengan kemudahan yang cukup sempurna. Sedangkan saudara-saudara kita mengangkat senjata mempertahankan bumi tercinta mereka. Sarapan mereka merupakan dentuman bom dan desingan bunyi peluru hidup. Tiada erti lepak bagi mereka melainkan berlari dari serangan israel durjana dan pembelajaran mereka hanyalah ikhtihar hidup bagi memastikan mereka dapat melihat mentari lagi pada esok hari.
Sebagai saudara seagama, apakah peranan kita? sekadar membaca akhbar dan menonton televisyen melihat gelagat mereka setiap hari? Kita pula hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa. Bangkitlah saudaraku, perkara yang paling mudah, mendoakan kemenangan mereka. Mendoakan semoga mereka mati syahid disisi-Nya.
Menjelang pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 januari ini. Politik negara, masih begitu senarionya. Seperti biasa, masing-masing mencari keburukan pihak lawan. Umno dengan sikapnya dan PAS dengan perangainya. Ahli politik atau penyokong, sama sahaja. Kutuk mengutuk merupakan makanan ruji mereka. Entahlah, aku sebagai seorang mahasiswa mungkin hanya dapat memerhatikan sahaja gelagat mereka. Juga gelagat penyokong-penyokong mereka. Untuk terjun dan menilai mana satu yang benar, mungkin belum tiba masanya lagi. Lagipun aku melihat masing-masing ada yang benar dan ada yang salah. Kalau boleh aku tak mahu mengundi kerana aku rasa tiada gunanya. Pilih yang ni salah, pilih yang ini pun tak betul. Tapi....... kita kan warganegara Malaysia. Nak tak nak kita tetap perlu memilih peneraju negara ini. Biarlah masa yang menentukan...
Isu remaja. Tajuk kegemaranku. Lagi-lagi yang melibatkan bangsaku sendiri. Yang tertulis di kad pengenalannya MELAYU. Sedih, pedih. Baru-baru ini aku membaca keratan akhbar Metro (tak pasti tarikhnya bila). Artikel tentang remaja perempuan melayu yang berbangga mereka telah kehilangan dara sejak dari umur remaja. Dengan bangganya mereka mengaku yang mereka telah kehilangan maruah dan kehormatan lagi. Yang lebih menyedihkan, masing-masing masih lagi bersekolah menengah. Yang masih belum kenal dunia. Yang masih lagi setahun jagung. Yang belum mengenali liku-liku hidup.
Adik-adikku... bagaimana agaknya nanti 10, 20 tahun akan datang, apabila mereka yang akan menerajui negara ini. Tengok sahaja rancangan Tom Tom Bak (Astro Ceria saluran 611), baru umur 9 tahun ada yang memakai skirt pendek dan bermekap tebal. Sedangkan aku dahulu masih lagi bermain galah panjang dan polis sentri disekolah. Sekarang kita masih boleh bersyukur kerana masih ada generasi-generasi sebelum merdeka. Generasi yang menghargai nikmatnya kemerdekaan itu. Generasi yang tidak terpengaruh dengan budaya keji yang dibawa oleh barat. Tapi bagaimana agaknya negara ini apabila diterjui oleh mereka pada masa akan datang. Adakah negara ini akan sama sahaja seperti Amerika, yang dianggap sangat bertamadun itu?
Apabila hal ini berlaku, masing-masing mula menyalahkan satu sama lain. Ibu bapa menyalahkan guru, guru menyalahkan media, media menyalahkan anak-anak dan anak-anak pula menyalahkan ibu bapa. Mengapa tiada inisiatif yang diambil untuk duduk semeja untuk membincang dan menyelesaikan masalah ini? Manusia, selagi tak kena kat batang hidung sendiri, selagi itulah berpeluk tubuh merupakan tindakan terbaik mereka. Manusia dan perangainya.......
~esok ada perhimpunan Rise For Gaza di Stadium Melawati Shah Alam. Apa tindakan kita???
No comments:
Post a Comment
bubblED BY..